Malam tadi setelah keluar dari
masjid seusai selesai solat Isyak di masjid berdekatan dengan rumah, saya
berjalan
kaki seorang diri pergi ke
sebuah kedai makan untuk makan malam. Pengunjung di kedai makan yang saya tuju
itu agak ramai dan boleh dikatakan hampir kebanyakan meja di kedai tersebut
sudah penuh. Saya memilih untuk duduk di salah sebuah meja di bahagian paling
hujung seorang diri yang ketika itu tiada orang di meja tersebut. Apabila
pelayan datang saya pun memesan makanan yang saya mahu. Selepas beberapa ketika
pelayan tersebut pergi datanglah pula seorang gadis muda berkulit cerah
berjubah dan bertudung hitam gaya wanita Arab ke meja saya seraya bertanya,
"Tuan, boleh saya duduk di sini..? Kamu lihat, tempat-tempat di meja lain
semua sudah penuh.."
"Oh, ok.. tak mengapa. Silakan duduk.." jawab saya agak terkejut
dengan sapaan gadis itu. Perbualan kami dalam bahasa Inggeris.
Kemudian pelayan datang kepadanya dan dia hanya memesan 'fresh orange' untuk
minuman. Apabila pelayan pergi saya memberanikan diri bertanya kepadanya dengan
rasa pelik, "Kamu seorang diri sahaja? Dan kamu kelihatan bukan orang
Malaysia, bukan?"
Dia mengangkat wajahnya dari telefon pintarnya ke arah saya lalu menjawab
dengan tersenyum, "Oh saya dari Korea Selatan, dan saya ingin ke rumah
seorang kawan.."
"Oh Korea Selatan.. sekarang negara itu sedang 'famous' dengan tarian
Gangnam Style.." jawab saya spontan bersahaja sambil tersenyum dan
menganguk-angguk sendirian tatkala mata gadis itu kembali ke telefon pintarnya
sambil menggerak-gerakkan jarinya di atas skrin sesentuh dan kadangkala dia
juga tersenyum seorang diri melayan sesuatu dari telefon pintarnya.
"Gangnam Style..? Apa yang kamu tahu tentangnya.. ia tarian yang dilaknat
Tuhan. Saya menganggapnya diilhamkan oleh Iblis kepada artis itu."
jawabnya dengan nada yang tegas dan berani.
"Oh ok ok, minta maaf..saya tak bermaksud menyinggung perasaan
kamu.." jawab saya serta-merta.
Perbualan terhenti seketika beberapa lama. Selepas kira-kira 15-20 minit
pelayan kembali datang dengan membawa pesanan saya dan minuman gadis itu.
"Kamu mahu tahu apa yang saya tahu tentang Gangnam?" tanya gadis
kembali itu kepada saya.
"Jika kamu berminat untuk bercerita kepada saya, saya akan
mendengarnya…" jawab saya dengan tenang sambil mula menghirup jus tembikai
susu yang saya pesan.
"Ok sekejap beberapa minit, selepas saya membalas mesej-mesej ini.."
jawabnya sambil jari-jemarinya ligat bermain di dada skrin telefon
pintarnya.Saya hanya mengangguk-angguk sambil mengangkat kening dan mula menyuap
makanan dengan sudu ke dalam mulut walaupun saya sedar bahawa memakan dengan
menggunakan tangan itu lebih menepati Sunnah Rasulullah SAW.
"Baik, sekarang saya akan bercerita tentangnya.. ia sesuatu yang menarik
tetapi pelik dan menakutkan." kata gadis itu kembali.
"Ok, seakan-akan ada satu perkara besar yang kamu ingin sampaikan kepada
saya." jawab saya kembali sambil mulut mengunyah nasi.
Kemudian dia diam kira-kira sepuluh saat, mengambil nafas lalu memulakan
ceritanya kepada saya,
"Di Gangnam ada satu pertandingan pelik yang diadakan untuk gadis-gadis
muda untuk menjadi perempuan-perempuan simpanan bagi orang-orang kaya dan para
jutawan. Kebanyakan gadis muda yang menyertai pertandingan tersebut adalah
mereka yang ingin mencuba nasib apabila gagal mendapat tempat dalam pekerjaan
atau terlalu teruja untuk menikmati hidup mewah bersama orang-orang kaya…
mereka dijanjikan dengan hadiah yang sangat lumayan, kereta mewah, jet peribadi
dan rumah besar seperti istana dengan kolam renang jika memenangi pertandingan
tersebut."
Kemudian dia diam lagi... kali ini dia pula meminum minuman 'fresh orange'..
dia diam dengan agak lama tanpa berkata apa-apa.
"Ok, kemudian..?" tukas saya lagi ingin tahu.
"Oh, ia sesuatu yang amat dahsyat dan keji dan saya hampir tidak mahu
menceritakannya kepada kamu. Tapi saya akan cuba ceritakannya juga agar kamu
dapat tahu apa kisah benar yang berlaku.." sambungnya lagi.
"Iya, sila sambung lagi... saya memang ingin tahu tentangnya." balas
saya lagi.
"Ok... Pertandingan itu, untuk sampai ke tempat pertandingan tersebut,
para peserta yang terdiri daripada perempuan-perempuan muda yang cantik
masing-masing dikehendaki menunggung seekor kuda kira-kira 500 meter dari
tempat para peserta berkumpul ke tempat pertandingan yang merupakan sebuah
istana besar dan mewah milik seorang jutawan di Gangnam. Kamu bayangkan, mereka
semuanya menunggang kuda dengan memakai kasut tumit tinggi, baju jarang dan
skirt singkat yang seksi sambil diiringi pihak penganjur pertandingan dengan
helikopter.."
"Setelah sampai di sana mereka disambut oleh pihak penganjur di istana itu
dan dibahagikan kepada dua kumpulan. Setiap kumpulan akan melalui dua laluan
yang berbeza. Pertandingannya ialah laluan berhalangan untuk sampai ke
destinasi yang terakhir. Ia seperti pertandingan dalam rancangan ‘Wipe Out’ di
dalam TV jika kamu pernah melihatnya. Setelah sampai di destinasi terakhir
pula, para peserta yang berjaya dari dua kumpulan itu akan bertarung pula
sesama sendiri. Jika pihak lawan tewas maka peserta yang masih bertahan akan
dianggap sebagai pemenang dan mendapat wang bernilai jutaan USD. Laluan
berhalangan itu sangat berbahaya, namun para peserta hanya melakukannya dengan
memakai kasut tumit tinggi dan pakaian seksi mereka sambil disaksikan dan
disorak oleh para jutawan yang melihat aksi-aksi mereka tersebut dari sebuah
ruang balkoni bilik mewah di istana tersebut. Saya tidak pasti ianya dirakam
ataupun tidak."
"Terus-terang, ia adalah pertandingan membunuh diri yang paling
gila…"
"Ok, kemudian.. apa yang berlaku?" tanya saya mencelah dengan rasa
teruja.
"Satu ketika di salah satu trek, para peserta dikehendaki memanjat
palang-palang besi untuk melintasi salah sebuah menara di istana tersebut,
palang tersebut sangat tinggi dan di bawahnya ada kolam renang. Di satu sudut
yang lain, para jutawan pula menyaksikan aksi-aksi peserta dari dalam sebuah
bilik mewah sambil menikmati hidangan dan minuman arak yang mahal bersama
gadis-gadis mereka."
"Ramai perserta ketika itu yang terjatuh ke bawah ketika cuba memanjat palang-palang
besi tersebut. Ada yang terhempas ke lantai dan kepalanya pecah. Ada yang patah
tangan dan kaki. Ada yang pecah badannya. Kolam renang tersebut penuh dengan
darah dan ada yang mati lemas ketika jatuh ke dalamnya setelah gagal untuk
berenang keluar dari kolam renang yang dalam tersebut. Mereka semua para gadis
yang tidak berupaya dan mereka sangat kasihan."
"Yang lebih keji daripada itu, mereka yang tercedera ketika itu langsung
tidak dibantu.. malah dibiarkan sahaja untuk disorak dan ditertawakan oleh para
jutawan yang melihat mereka sepanjang pertandingan. Akhirnya apa yang saya
tahu, hanya dua orang gadis sahaja yang berjaya melepasi laluan itu daripada
keseluruhan 30 orang gadis yang menyertainya... saya dikhabarkan walaupun dua
gadis itu akhirnya berjaya, mereka kini hidup dengan trauma dan penuh ketakutan
di sisi para jutawan gila tersebut. Mereka kini hidup seperti hamba di dalam
istana zaman purba. Tiada tamadun dan tiada akhlak... hanya menjadi hamba
suruhan lelaki-lelaki kaya yang merantai hidup mereka sahaja. Lebih malang lagi
gadis-gadis yang sudah terjerumus ke sana tidak boleh lari daripada golongan
kaya gila itu. Jika cuba untuk lari kemungkinan mereka akan dibunuh."
Sampai di sini tiba-tiba gadis itu sebak... wajahnya berubah dan air matanya
serta-merta mengalir laju dan menangis teresak-esak.
Saya sudah tentu sangat terkejut dengan perubahannya secara tiba-tiba itu, dan
cuba memujuknya,
"Hey, please don't cry here… people will look to us. Please calm down. I'm
sorry so much to make you telling me this story…" kata saya kepadanya
perlahan dengan suara hampir berbisik.
Namun saya membiarkannya dengan keadaannya itu untuk beberapa ketika. Kemudian
saya berkata kepadanya, "Saya tak tahu apa sebenarnya yang membuatkan kamu
menangis, tapi saya minta maaf banyak-banyak kerana disebabkan saya kamu
menangis. Sebenarnya saya sangat terkejut mendengar cerita kamu. Ia sesuatu
yang sangat dahsyat yang belum pernah saya mendengarnya sebelum ini.."
"Ia ok... ia ok... ia ok... (sambil mengesat air matanya dengan sapu
tangan miliknya)... maafkan saya kerana tiba-tiba bersikap pelik tadi. Kamu
tahu, salah seorang gadis yang mati kerana pecah badannya ketika jatuh di
pinggir lantai kolam renang itu ialah adik perempuan saya sendiri... Ibu saya
membunuh diri kerananya dan bapa saya menjadi gila. Setelah ibu saya membunuh
diri bapa saya sakit selama berbulan-bulan lalu akhirnya meninggal dunia."
Pada waktu ini dia kembali diam beberapa minit… saya pula tergumam dan tidak
terkata apa-apa… setelah itu dia menarik nafasnya dalam-dalam lalu menyambung
kembali kisahnya,
"Ibu-bapa saya hanya memiliki dua orang anak perempuan dan adik saya sudah
menjadi mangsa kepada nafsu gila orang-orang kaya Korea.""Sejurus
selepas tamat pertandingan tersebut, saya dihubungi seorang wanita yang
memberitahu bahawa adik saya telah pengsan dan cedera parah kerana kemalangan
dan saya dikehendaki ke hospital untuk melihatnya. Wanita itu menyatakan dia
mendapat nombor telefon saya daripada adik saya. Apabila saya dan ibu-bapa saya
tiba ke hospital, kami dikhabarkan adik saya telahpun meninggal dunia. Saya
memarahi wanita tersebut dan mendesaknya bertubi-tubi untuk menceritakan kisah
sebenar kepada saya... dan akhirnya selepas beberapa hari dia menceritakan
keseluruhan kisah ini kepada saya. Setelah tahu kisah sebenar, kami sekeluarga
meraung dan menangis macam orang gila kerana tidak pernah menyangka adik saya
sanggup menyertai pertandingan gila tersebut hanya untuk hidup mewah sebagai
gadis simpanan orang-orang kaya. Namun wanita itu berkata ia adalah pilihan
adik saya sendiri."
"Beberapa minggu kemudian ibu saya membunuh diri pada satu malam dengan
menelan aspirin sebanyak 200 biji. Keesokan harinya ibu saya koma dan apabila
saya dan bapa menghantarnya ke hospital, pada malam harinya dia meninggal
dunia. Bapa saya pula selepas itu sakit jiwa sebelum mengalami sakit tenat yang
membawanya meninggal dunia. Saya pula hidup tidak menentu dan mujurlah masih
mempunyai seorang sahabat wanita beragama Islam yang terus berjuang agar saya dapat
meneruskan kehidupan dengan tabah. Berulang-ulang kali dia mengingatkan kepada
saya bahawa kehidupan ini adalah anugerah Tuhan dan orang yang beriman tidak
akan berputus asa."
"Dan kerana itu saya melihat kamu kini sebagai seorang Muslimah..?"
saya mencelah ceritanya.
"Alhamdulillah, terima kasih kepada Tuhan. Sahabat saya itu telah membawa
saya berjumpa dengan seorang imam di bandar Seoul untuk memulihkan semangat
hidup saya. Imam itu mula bercerita kepada saya tentang Allah, Islam dan Nabi
Muhammad. Saya menerima segala ajarannya dengan lapang hati seakan-akan ia
satu-satunya pilihan yang ada. Benar, Islam adalah satu cahaya yang sangat
terang seperti matahari dan mendamaikan seperti bulan purnama yang kembali
menyuluh seluruh hidup saya dan saya terus berubah kepada agama ini tanpa
ragu-ragu. Dan kamu tahu tak, jiwa saya berasa sangat-sangat tenang dan damai
ketika mendengar ayat-ayat Al-Quran yang berkumandang di ibu pejabat markaz
Islam di bandar Seoul. Imam itu salah seorang ahli pengurusnya. Saya tidak
pernah mendengar muzik-muzik yang sangat indah seperti ayat-ayat Al-Quran
sebelum ini dalam hidup saya."
Kini suara gadis itu kembali gagah seraya berkata, "Alhamdulillah, saya
bersyukur kerana diselamatkan Tuhan dan kembali dihidupkan semula sebagai
seorang Islam setelah saya kehilangan segala-galanya akibat kekeringan jiwa
masyarakat dunia terutama masyarakat Korea yang hidup sesat tanpa agama. Mereka
semua telah sesat tanpa panduan hidup yang benar daripada Tuhan."
Setelah itu dia diam dan meminum minumannya...
"Kisah kamu amat menarik tetapi menakutkan. Adakah kamu sudah mengambil
tindakan undang-undang bagi pihak adik kamu, atau melaporkannya kepada media
atau berbuat sesuatu?" ujar saya kembali kepadanya.
"Lupakan sahajalah, saya sudah melaporkannya kepada pihak polis, sudah
menceritakannya kepada beberapa orang wartawan dan melaporkannya secara
bersumpah kepada beberapa orang peguam. Pihak polis enggan melakukan pendakwaan
kerana tiada bukti-bukti yang kukuh mengenainya. Tiada video dan tiada
saksi-saksi lain yang mahu tampil kepada pihak berkuasa selain saya. Mungkin
ada namun ia tidak memadai. Wanita yang membawa adik saya ke hospital itu juga
sudah menghilangkan diri. Saya cuba menghubungi nombor telefon bimbitnya
berali-kali namun dia tidak dapat dihubungi. Kali terakhir saya mendengar
tentangnya melalui seorang peguam yang mendapat khabarnya daripada seorang
detektif polis ialah dia sudah meninggal dunia akibat kemalangan. Para peguam
lain dan wartawan yang saya ceritakan kisah ini kepada mereka kesemuanya telah
diugut untuk tidak mendedahkannya kepada umum. Mungkin begitu juga yang terjadi
kepada mangsa-mangsa yang lain. Laporan polis di sana pula menyatakan
gadis-gadis yang meninggal dunia akibat cedera parah itu adalah kerana rabung palang-palang
besi di istana itu roboh ke bawah ketika mereka semua sedang berada di atasnya
kerana ketika pihak polis sampai di sana palang-palang besi itu sudah pun
dirobohkan. Manakala mangsa-mangsa yang masih hidup setelah kecederaan masih
mengalami trauma yang dahsyat dan ada yang cacat seumur hidup walaupun mereka
mendapat bayaran ganti rugi insurans yang banyak. Apa yang saya tahu mereka
semuanya diugut akan dibunuh jika mendedahkan peristiwa sebenar kepada pihak
polis. Yang pasti di sana wujud monster-monster besar yang menutupi kes ini
termasuk menteri-menteri kerajaan… ia berkaitan dengan wang dan kuasa. Dan
sudah tentu kamu tahu apa yang wang dan kuasa boleh buat pada kita."
jawabnya lagi dengan panjang lebar yang sarat dengan hujah.
"Oh, ok... ianya sesuatu yang gila pernah saya dengar. Jadi sekarang
berapa umur kamu dan mengapa kamu berada di Malaysia? Dan... apa yang kamu
sedang buat di Malaysia sekarang? Dan lagi… bilakah peristiwa sedih itu
berlaku?" tanya saya bertubi-tubi kepadanya dengan rasa ingin lebih tahu.
"Kamu agak saya berumur berapa…?"
"Saya tidak mahu mengagak
dan saya tidak tahu berapa umur kamu."
"Kisah sedih itu hanya berlaku pada tahun lepas, dan saya tidak mahu sebut
apa bulan dan harinya. Cukuplah kamu tahu ia berlaku pada tahun lepas. Kini
saya berumur 29 tahun dan saya di berada di Malaysia kerana ingin cuba
mendaftar kursus bahasa Arab di ******* University dengan sahabat wanita
Muslimah saya dari Korea itu. Tadi saya bertemu-janji dengannya untuk bertemu
di sini. Kami rakan serumah dan dia tadi menziarahi rakan kami orang Malaysia
di kawasan ini. Saya sampai ke sini lewat sedikit dengan teksi.” jawabnya
berterus-terang dengan nada jujur.
"Oh, kamu sungguh berani. Di Malaysia tidak ramai wanita yang berani naik
teksi seorang diri pada waktu malam. Terima kasih kerana menceritakan kisah ini
kepada saya.. saya amat menghargainya dan mudah-mudahan suatu hari Allah akan
membalas dendam untuk kamu dan mangsa-mangsa lain yang telah teraniaya..."
kata saya lagi kepadanya sambil mengangguk-angguk.
"Sudah tentu...! Suatu hari nanti semua orang dan dunia akan tahu mengenai
kejahatan tersembunyi di bandar Gangnam yang dilaknat itu!" tukasnya
dengan nada yang keras.
"Kamu ingat artis yang mecipta lagu Gangnam gila itu menyukai cara hidup
bandar Gangnam..? Saya rasa dia amat sinis tentangnya dan dia pernah berasa
tertekan dengan cara hidup di sana.. namun kini dia sudah menjadi sebahagian
daripada mereka. Semoga Tuhan melaknat mereka semua. Saya menyerahkan kepada
Tuhan untuk membalas segala kejahatan mereka."
"Whoa... kamu nampaknya sangat marah dengan Gangnam..." balas saya
sambil mengangkat kedua-dua kening dan menyedut jus tembikai susu yang masih
berbaki menggunakan straw.
"Oh, jangan kamu berpura-pura seperti tiada perasaan dan tidak mempunyai
perikemanusiaan.." balasnya pantas kepada saya.
"Tidak, tidak... saya benar-benar terkejut dan simpati dengan kisah kamu.
Bahkan di sebalik itu, saya dapat melihat kamu seorang yang tabah, kuat dan
berani." balas saya kembali untuk menenangkannya.
"Oh ya, adakah kamu datang sini dengan biaya sendiri? Bagaimana dengan
suami kamu dan kerjaya kamu di Korea?" tanya saya kepadanya dengan
meneka-neka.
"Hahaha, saya masih belum bersuami dan saya telah menjual segala apa yang
saya ada di Korea untuk datang ke sini. Saya mahu belajar bahasa Arab di sini
dan merancang mahu ke Mesir atau ke Islamic Center di Chicago selepas ini untuk
belajar lebih banyak tentang Islam di sana. Kamu juga tahu, Timur Tengah kini
tidak stabil dan saya masih ragu-ragu untuk ke Timur Tengah. Imam yang mengislamkan
saya itu pernah memberitahu saya bahawa dahulunya dia belajar bahasa Arab dan
agama Islam di Syria di sebuah universiti yang namanya An-Nur." jawabnya
dengan reaksi yang kembali ceria sambil tersenyum.
"Oh dulu saya juga pernah belajar di Syria, dan universiti itu namanya
Universiti Abu Nur." jawab saya.
"Oh benarkah? Ceritakan kepada saya tentang Syria... saya bertuah bertemu
dengan kamu." tukasnya teruja dengan muka yang sangat gembira.
Sesampainya di sini perbualan kami mula bertukar topik kepada isu Syria dan
pergolakan di Timur Tengah serta topik-topik lain yang sudah tiada kena-mengena
dengan Gangnam. Saya juga bercerita sedikit sebanyak tentang latar belakang
diri saya kepadanya sebagai membalas kisah hidupnya yang telah dia ceritakan kepada
saya.
Lama juga kami bersembang sejak jam 9.00 malam tadi. Kira-kira jam 10.30 malam
rakan gadis itu datang ke kawasan kedai tersebut dan gadis itu meminta izin
untuk pergi. Dia membayar segala pesanan makanan saya dan memperkenalkan
dirinya sebagai Sofiyyah dan rakannya bernama Nadiah. Katanya nama mereka
berdua diberikan oleh imam yang mengislamkan mereka di bandar Seoul merangkap
guru murabbi mereka di Korea Selatan. Saya pula beruntung kerana makan malam
saya ada orang belanja.
Kedua-dua mereka pernah lahir sebagai manusia yang tidak pernah menganut
sebarang agama di Korea namun kini Allah telah memuliakan mereka dengan agama
Islam yang suci. Saya tidak tahu sejauh mana kebenaran cerita Sofiyyah tentang
kisah yang berlaku kepada adiknya di Gangnam. Kebenaran kisah tersebut saya
serahkannya bulat-bulat kepada Allah. Namun saya berminat untuk kongsikan kisah
ini kepada para pembaca agar para pembaca dapat membuat penilaian sendiri.
Kisah tersebut mungkin benar dan mungkin tidak benar. Namun, di sebalik kisah yang
saya pindahkan daripada Sofiyyah ini, dapatlah kita mengetahui sesuatu dan
menjadikannya sebagai pengajaran.
Apa yang saya suka kongsi satu iktibarnya ialah, saya melihat betapa Sofiyyah
amat bersyukur dan menghargai nikmat Islam yang dikurniakan Allah kepadanya.
Dia sanggup meninggalkan negerinya dan menjual segala hartanya demi mempelajari
bahasa Arab di bumi Malaysia bagi memahami Al-Quran, malah dia bercita-cita
untuk terus mengembara bagi mempelajari ilmu-ilmu Islam dan menjadi seorang
pendakwah Muslimah di negara Korea untuk Islamkan lebih ramai penduduk Korea.
Dia seorang yang amat berani, tabah dan cekal. Lihat saja, bagaimana dia
seorang diri berani menyapa seorang lelaki asing seperti saya di awal kisah
tadi. Apa yang saya lihat padanya, tiada sebarang ketakutan di dalam dirinya
dan harapan hidupnya telah seratus-peratus diserahkan kepada Allah. Dia telah
menjual seluruh jiwa dan raganya hanya kepada Allah semata-mata. Di sebalik
kekuatan dirinya sekarang, saya juga yakin di belakangnya ada seorang murabbi
mursyid yang hebat, iaitu sang imam yang telah mengislamkannya. Biasanya di
sebalik orang-orang yang hebat, di belakang mereka sudah tentu ada para
pendidik yang jauh lebih hebat lagi. Di dalam hati saya berkata sudah tentu
peribadi sang imam itu lebih hebat lagi kerana berjaya membaiki diri Sofiyyah
menjadi lebih kuat sepertimana sekarang. Ia bukanlah sesuatu yang mudah untuk
memulihkan, mendidik dan membangunkan jiwa manusia yang sudah rosak teruk
seperti Sofiyyah dan menjadikannya seorang srikandi yang gagah perkasa jiwanya.
Sepanjang berjalan kaki pulang ke rumah, saya banyak tertanya-tanya di dalam
hati betapa kita ini begitu leka dan tidak bersyukur dengan nikmat beragama
Islam yang telah Allah anugerahkan kepada kita sejak kita dilahirkan ke alam
dunia.
Di dalam hati saya sepanjang pulang, "Allahu Rabbi.... alhmdulillah,
alhamdulillah, alhamdulillah." Sambil kaki saya sekali-sekala menyepak
batu-batu kecil di jalanan dan kedua-dua tangan dimasukkan ke dalam poket jubah
putih kiri dan kanan seraya muka menunduk ke arah tanah...
Sehingga saat ini saya masih tetap berfikir sendirian, kisah Sofiyyah ini ialah
apa yang saya dengar berlaku di negara Korea yang maju.. bagaimana pula dengan
kisah-kisah gelap seperti kisah gadis-gadis Melayu Islam yang menjadi pelacur
kelas atasan di negara kita. Sudah tentu banyak juga kisah-kisah gelap yang
tidak pernah kita dengar tentang mereka. Sebelum ini saya pernah juga mendengar
mengenai kisah-kisah kongsi gelap di negara kita yang dilindungi oleh orang-orang
besar.
Allahu Allah, betapa teruknya manusia menjadi hamba wang dan kuasa pada zaman
ini... Ya Allah, selamatkanlah kami di dunia dan di akhirat...
[Kisah benar ini selesai ditulis semula pada: hari Ahad, 07 Oktober 2012, 10.55
AM]
Copy & Paste From Facebook